Watak Manusia Yang Dibenci

Sama ada dalam
kehidupan peribadi, berjiran tetangga, bermasyarakat, berbangsa atau bernegara. Watak ini selalunya mengganggu masyarakat dan sentiasa bekerja
mengelabui mata orang ramai, mempersenda-sendakan agama dan melakukan apa sahaja untuk
merosakkan masyarakat dan ummah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat
204-205 yang bermaksud: Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya
mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya),
dan ia (bersumpah) bahwa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya,
padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya. Dan apabila ia
berpaling, berjalanlah ia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan
membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang
Allah tidak suka kepada kerosakan.”

Antara watak  tersebut adalah:
Watak Pertama: Manusia
yang bermulut manis dibibir tetapi hati penuh dengan racun berbisa. Manusia
jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan yang
mempersonakan hati ramai orang. Dia boleh dianggap mempunyai hati yang baik,
jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan
kepentingan umum tetapi pada hakikatnya adalah lain dibibir lain dihati.
Pada pandangan agama Islam, manusia
seperti ini adalah seorang yang munafik. Zahirnya mengatakan ’Ya’ tetapi
batinnya mengatakan ’Tidak’. Manakala dalam masyarakat Melayu, dia dipanggil
’Musuh Dalam Selimut’, ’Musang Berbulu Ayam’ atau ’Telunjuk Lurus Kelingking
Berkait’.
Watak Kedua: Manusia
perosak masyarakat. Manusia jenis ini tidak mempunyai rasa malu dan sanggup
melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat. Kerosakkan yang dilakukan
adalah semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila
melihat orang lain mendapat kebaikan.
Antara musibah yang menimpa masyarakat
dengan adanya manusia sebegini adalah lahir kumpulan yang suka menyalahkan
orang lain atau kumpulan lain. Ada yang sanggup mencaci, menghina, memaki orang
lain. Kita perlu ingat bahawa watak ini tidak dapat menyelesaikan masalah ummah
tetapi menambahkan beban masalah buat masyarakat dan negara. Justeru itu,
manusia yang terlibat dalam kelompok ini, gemar mencela, mengumpat, mengutuk,
memfitnah tanpa dasar yang betul. Adalah suatu kezaliman sekiranya seseorang
menuduh orang lain melakukan perbuatan yang tidak dilakukan olehnya.
menegur, adalah, perlu, untuk, kebaikan, bersama
Watak Ketiga : Manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh
menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat
orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak
membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul, diajak secara
jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak.
Watak manusia sebegini adalah
disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan
mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya
daripada orang lain. Lantaran itu manusia seperti ini
akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk menutup segala
kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.
Kesemua watak manusia yang dinyatakan
tadi mengajak kita semua berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan
berkenaan. Sedarilah bahawa masyarakat yang bertamadun akan mengelakkan diri daripada
sebarang perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara.
Semoga dengan sikap sedemikian kita tidak terjerumus ke dalam perbalahan,
perpecahan, pencerobohan hak, pertumpahan darah dan sebagainya.

You may also like

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge