Kalori Penentu Berat Badan

Metabolisma saja tidak menentukan berat badan anda. Berat badan sebenarnya bergantung pada keseimbangan kalori yang diambil dengan kalori yang dibakar dan bukannya bergantung kepada metabolisma. Sebenarnya tidak benar seratus peratus yang mengatakan orang yang kurus memiliki metabolisma yang tinggi manakala mereka yang gemuk memiliki metabolisma rendah.
Jika anda mengambil kalori lebih dari jumlah yang diperlukan tubuh, berat badan akan bertambah. Tetapi jika anda mengambil kurang daripada jumlah diperlukan, berat badan berkurangan. Metabolisma sebenarnya adalah enjin yang membakar kalori dan bertindak seakan penimbang yang menyeimbangkan keperluan tenaga anda. Dengan kata mudah, metabolisma adalah proses tubuh menukar makanan kepada tenaga. Ketika proses biokimikal ini, kalori dari karbohidrat, lemak dan protein bergabung dengan oksigen untuk membebaskan tenaga yang diperlukan bagi tubuh berfungsi.
Pertambahan berat badan pula, selalunya disebabkan ketidakseimbangan tenaga dan pengambilan kalori lebih dari keperluan. Bagi mengurangkan berat badan, anda perlu mencipta tenaga defisit dengan memakan makanan kurang kalori, memperbanyakkan senaman atau aktiviti fizikal atau kedua-duanya sekali.
Faktor Mempengaruhi Keperluan Kalori Anda
  • Saiz tubuh dan komposisinya
Untuk berfungsi secara betul, tubuh bersaiz besar memerlukan lebih tenaga (lebih kalori) berbanding mereka yang bersaiz kecil. Selain itu otot membakar lebih banyak kalori berbanding lemak. Jadi, semakin banyak otot yang anda miliki semakin tinggi kadar asas metabolik.
  • Usia
Semakin tua, jumlah otot semakin berkurangan dan lemak membentuk sebahagian daripada berat badan. Metabolisma juga perlahan secara semula jadi seiring usia. Ia mengurangkan keperluan kalori anda.
  • Jantina
Lelaki selalunya tidak banyak mempunyai lemak berbanding wanita. Mereka juga lebih banyak otot dibandingkan wanita seusia dan sama beratnya. Disebabkan itu lelaki memiliki lebih tinggi kadar asas metabolik dan membakar lebih banyak kalori berbanding wanita.

piramid, makanan, malaysia

Tip Kurangkan Kalori
  • Kemampuan anda untuk mengubah asas metabolisma adalah terhad. Bagaimanapun dengan kekerapan bersenam dan melakukan aktiviti membina tisu otot, ia akan membakar lebih banyak kalori.
  • Senaman aerobik yang kerap seperti berjalan untuk 30 minit setiap hari adalah cara terbaik membakar kalori. Latihan seperti mengangkat berat juga penting kerana membantu mengurangkan kehilangan otot disebabkan penuaan. Ini kerana tisu otot membakar lebih banyak kalori, jisim otot adalah faktor utama kepada pengurangan berat badan. Walaupun senaman aerobik bagus untuk menurunkan berat badan, tetapi apa saja pergerakan sebenarnya boleh juga membantu membakar kalori.
  • Setiap hari luangkan beberapa ketika untuk berjalan kaki untuk beberapa minit. Aktiviti seperti berkebun, membasuh kereta, mengemas rumah juga membantu membakar kalori dan menyumbangkan kepada penurunan berat badan. Memilih menaiki tangga dan berjalan dari tempat letak kereta ke pejabat juga adalah cara mudah membakar kalori.
  • Jangan ambil makanan tambahan (supplement) untuk membantu membakar kalori. Biasanya produk yang mendakwa boleh mempercepatkan metabolisma ada kesan jangka panjang yang bahaya pada kesihatan.
  • Baca label setiap produk begini dengan berhati-hati dan dapatkan pendapat pakar jika anda memang mahu memilih produk sebegini
Sumber Maklumat: Berita Minggu
Continue Reading

Cara Pengiraan Tubuh Ideal

bmi-lelaki-dan- wanita
Bentuk tubuh ramping bagaikan peragawati adakah itu dikatakan cantik menawan? Walaupun istilah ramping itu subjektif kerana ada yang mempunyai rangka besar dan kecil, tetapi ada ukuran tertentu digunakan untuk menentukan sama ada seseorang itu sudah berada dalam bentuk badan yang ideal atau sebaliknya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan Indeks Jisim Badan (BMI) sebanyak 22 sebagai berat badan unggul (tetapi 23 juga diterima). Ia bukan saja boleh menjadi pengukur kepada keseimbangan berat badan, sebaliknya menjadi penanda aras bagi kekerapan untuk tekanan darah tinggi.
Ini kerana kajian menunjukkan hampir 50 peratus individu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi mempunyai BMI melebihi 30. Ada juga individu yang hanya gemar menimbang berat. badan tetapi adakah ia tepat kerana selalu berubah andai ditimbang pada waktu berbeza?
Realitinya penurunan timbangan berat badan yang tidak memudaratkan fungsi tubuh ialah dua hingga empat kilogram setiap bulan saja, Antara panduan yang diberikan untuk menimbang berat badan ialah menimbang menggunakan penimbang yang sama selain kiraan diambil pada waktu sama setiap kali yang mana paling baik ialah seminggu sekali saja.
Walaupun kiraan timbangan paling asas dijadikan panduan, nisbah ukuran pinggang dan punggung (WHR) adalah paling tepat menentukan bentuk tubuh paling ideal. Panduan berikut boleh digunakan sama ada lelaki atau wanita, untuk mengetahui di mana tahap anda.
Indeks Jisim Badan
Ukuran BMI
a) Cara kiraan BMI ialah membahagikan berat badan dengan ketinggian (dalam meter) ganda dua atau
Berat (kilogram)/[Tinggi (meter) x tinggi (meter)]
b) Untuk lebih tepat, anda boleh mengira sendiri berat badan yang unggul mengikut ketinggian masing-masing. Caranya ialah:
BMI, kira berat ideal  
23 x tinggi (meter) x tinggi (meter)
Contoh : Sekiranya ketinggian anda 1.5 meter maka :
Cara kiraannya ialah: 23 x 1.5 x 1.5 = 52.
Ini bermakna bagi individu yang mempunyai ketinggian 1.5 meter, berat badan unggul ialah 52 kilogram.
c) Mengukur ukur lilit pinggang.
Ukur lilit pinggang bagi wanita mestilah tidak melebihi 80 sentimeter (32 inci) dan lelaki pula antara 88 hingga 94 sentimeter (36 hingga 40 inci).
Nisbah ukuran pinggang dan punggung (WHR) adalah kaedah penentu untuk mengetahui bentuk badan baik dan ideal bagi setiap orang. Caranya ialah membahagikan ukuran pinggang dengan punggung yang mana bagi wanita, ukurannya mestilah tidak melebihi 0.8 dan 1.0 bagi lelaki. Sekiranya nisbah WHR melebihi tahap ditentukan di atas, bermakna bentuk badan kurang cantik walaupun BMI anda dalam lingkungan normal.
tubuh, ideal, lelaki, dan, wanita
Continue Reading